Pengenalan
Terdapat berbagai objek yang berbentuk geometri berada di sekeliling murid. Mereka sentiasa menggunakan objek tersebut tanpa menyedari bahawa objek tersebut adalah terdiri daripada berbagai bentuk geometri yang mempunyai nama dan ciri-ciri yang tertentu. Pemahaman mereka terhadap ciri-ciri bentuk sesuatu objek geometri memerlukan bimbingan yang berterusan dari guru. Untuk memastikan murid dapat memahami ciri-ciri tersebut dengan berkesan satu aktiviti yang membolehkan murid menjana idea mereka sendiri untuk memahami sesuatu konsep tentang sesuatu bentuk perlu difikirkan oleh seseorang guru. Justeru itu, kajian ini dijalankan bagi melihat bagaimana murid menggunakan pemikiran mereka bagi memahami konsep perimeter sesuatu objek yang berbentuk segiempat sama, segiempat tepat dan segitiga.
Kajian ini dijalankan ke atas satu kumpulan murid Tahun 4 di SK Tanjong Malim.. Pengkaji memilih kumpulan murid tersebut kerana mereka merupakan kumpulan murid yang diajar oleh pengkaji sendiri. Perkara ini akan memudahkan lagi pengkaji untuk mengumpul data kerana pengkaji akan sentiasa berada bersama mereka sepanjang kajian ini dijalankan. Pengkaji menggunakan kaedah melukis bentuk pada kertas petak bagi melihat bagimana murid tersebut mengembangkan idea mereka untuk memahami konsep perimeter bentuk segiempat tepat, segiempat sama dan segitiga.
Dalam kehidupan seharian, murid telah biasa membuat anggaran dan perbandingan panjang sesuatu objek atau jarak sesuatu tempat dengan menggunakan anggota badan seperti tangan dan kaki. Selain daripada itu juga murid telah terbiasa menggunakan objek maujud yang ada disekeliling mereka seperti kayu yang lurus sebagai medium untuk menganggar atau membandingkan panjang objek atau jarak sesuatu tempat. Berdasarkan situasi tersebut pengkaji telah mendapat satu idea untuk menggunakan kertas petak sebagai alat untuk mengkaji bagaimana murid menggunakan idea mereka bagi memahami konsep perimeter.
Murid lebih mudah memahami sesuatu konsep matematik jika mereka sendiri yang menjalankan penyiasatan untuk mencari jawapan kepada masalah yang mereka hadapi. Dalam kajian ini pengkaji memilih kaedah inkuiri penemuan semasa menjalankan kajian terhadap kumpulan murid tersebut kerana pengkaji percaya bahawa mereka akan lebih mudah memahami sesuatu konsep dan dapat menyimpan pengetahuan itu dalam ingatan mereka bagi tempoh masa yang lama jika mereka sendiri yang bertindak untuk mendapatkan jawapan atau jalan penyelesaian. Dalam hal ini pengkaji akan bertindak sebagi fasilitator atau pemudah cara kepada murid. Pengkaji memilih kertas petak sebagai instrumen kajian kerana pelajar mudah melukiskan bentuk segiempat sama, segiempat tempat dan segitiga pada kertas tersebut. Hasil dari kajian terdahulu juga membuktikan keberkesanan kaedah yang digunakan dalam membantu pelajar memahami konsep matematik dengan lebih jelas.
Implikasi Kajian
Kajian ini diharap akan dapat mengenalpasti kaedah yang sesuai bagi membantu murid bagaimana untuk memahami konsep perimeter sesuatu objek. Kajian ini diharap akan dapat menentukan samaada pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Matematik yang menggunakan kertas petak untuk memahami konsep perimeter dapat menghasilkan pembelajaran yang bermakna kepada murid di Sekolah Rendah. Selain daripada itu, guru juga akan dapat melihat perbezaan pemikiran matematik murid mereka dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Para guru juga dapat menilai semula sejauh mana keupayaan mereka mengaplikasikan pelbagai pendekatan pembelajaran yang bersesuaian dalam usaha meningkatkan pemahaman murid dalam memahami sesuatu konsep matematik dengan lebih jelas dan berkesan.
Kajian lepas
Kaedah Inkuiri Penemuan merangkumi semua aktiviti merancang, menyiasat, menganalisa dan menemui. Pembelajaran melalui kaedah ini memerlukan kemahiran-kemahiran seperti membuat perbandingan dan mencari ciri-ciri sama untuk membuat generalisasi. Dalam pembelajaran matematik, murid-murid boleh memahami sesuatu konsep matematik melalui aktiviti menyiasat, mengumpul maklumat dan menganalisa maklumat ( Mok Soon Sang, 1996 ). Mengikut Jean Piaget pula pelajar pada peringkat umur 7 hingga 10 tahun peringkat kognitif mereka masih lagi berada di tahap operasi konkrit. Penggunaan kertas petak ( square paper ) di lihat sangat sesuai digunakan sebuah medium untuk membantu murid Tahun 4 dalam proses memahami perimeter objek yang berbentuk segiempat sama, segiempat tepat dan segitiga kerana keadaan kertas tersebut yang mempunyai garisan lurus serta petak-petak kecil yang sama besar akan memudahkan murid melukis bentuk dengan mudah walaupun tanpa menggunakan pembaris.
Meneroka pemikiran murid Tahun 4 bagaimana mereka menggunakan idea mereka untuk memahami konsep perimeter.
Projek ini saya jalankan terhadap murid yang saya ajar sendiri di sekolah. Kelas yang saya ajar ini merupakan kelas yang keempat dari empat empat buah kelas Tahun 4. Mengikut susunan kedudukan kelas Tahun 4 di sekolah ini, kelas ini adalah kelas yang terakhir. Kedudukan murid yang ada di kelas ini ditentukan dari pencapaian peperiksaan akhir tahun mereka semasa mereka berada di dalam Tahun 3. Pencapaian matematik ,mereka bolehlah dikatakan sederhana. Mereka masih boleh menguasai kemahiran asas matematik seperti tambah, tolak, darab dan bahagi tetapi agak perlahan sedikit berbanding dengan murid di tiga buah kelas Tahun 4 yang lain.
Dalam proses untuk menjalankan projek ini saya telah membuat pemerhatian terhadap kemampuan murid saya untuk menjalankan aktiviti yang akan mereka jalankan. Hasil daripada pemerhatian tersebut saya dapati kebanyakkan mereka dapat melakukan dengan baik aktiviti yang melibatkan mengukur panjang objek. Di sini saya telah membuat keputusan untuk untuk memilih tajuk bentuk dan ruang serta memilih kemahiran mengukur dan merekodkan perimeter bentuk segiempat sama, segiempat tepat dan segitiga sebagai kemahiran yang hendak saya jalankan dalam aktiviti mereka. Berikut ialah perincian daripada tajuk yang telah saya pilih :-
Tajuk : Bentuk dan Ruang
Objektif : Mengukur dan merekodkan perimeter bentuk Segiempat sama,
Segiempat tepat dan Segitiga.
Kelas : Tahun 4 Mesra
Bilangan Murid : 30 orang
Daripada aktiviti yang akan mereka jalankan nanti saya harapkan murid saya akan dapat menerangkan konsep perimeter dengan jelas di mana mereka akan dapat menunjukkan bagaimana menjana idea untuk memahami konsep perimeter sesuatu objek itu diperolehi dengan menunjukkan penambahan sisi dan menjumlahkan semua sisi objek tersebut untuk mendapatkan perimeter. Saya juga mengharapkan murid saya tahu mengukur dan merekodkan perimeter sebarang objek yang berbentuk segiempat sama, segiempat tepat dan segitiga yang ada di sekeliling mereka.. Selain daripada itu saya juga mengharapkan murid saya akan dapat menamakan dengan betul bentuk objek yang ada di sekeliling mereka seperti permukaan meja, permukaan lantai di dalam kelas dan kepingan mozek yang ada di rumah dan membuat perbandingan perimeter objek tersebut antara satu sama lain.
Selain daripada sebab di atas, saya mengambil keputusan untuk memilih tajuk Bentuk dan Ruang kerana saya dapati murid saya mempunyai pengetahuan sedia ada yang amat bersesuaian untuk mengajar tajuk ini. Hasil daripada perbincangan dengan murid, saya mendapati murid saya mempunyai beberapa pengetahuan sedia yang akan memudahkan mereka untuk menjalankan kerja projek tersebut. Antara pengetahuan sedia ada murid ialah mereka telah kenal bentuk segiempat sama, segiempat tepat dan segitiga kerana telah mempelajarinya semasa berada di Tahun 2 lagi. Mereka juga boleh memberikan beberapa contoh objek di sekeliling mereka sama ada objek yang berada di dalam kelas, di luar kelas mahu pun di rumah yang mempunyai bentuk segiempat sama, segiempat tepat dan segitiga.
Selain daripada itu murid saya tahu ciri-ciri segiempat sama, segiempat tepat dan segitiga dan boleh melukiskan ketiga-tiga bentuk tersebut dengan menggunakan ukuran yang betul. Apabila ditanya, mereka boleh memberi tahu berapa bilangan sisi setiap objek yag berbentuk seperti berikut, contohnya pelajar saya boleh memberitahu kepingan lantai mozek di rumah mereka berbentuk segiempat sama dan ia mempunyai 4 sisi yang sama panjang. Murid saya juga boleh memberikan beberapa contoh objek-objek lain yang mempunyai permukaan segiempat sama, segiempat tepat dan segitiga seperti permukaan buku teks, meja dan bentuk ruang di dalam kelas.
Murid saya juga tahu mengukur ukuran panjang dalam unit meter dan centimeter kerana mereka telah mempelajari tajuk ini sebelum tajuk projek mereka di ajar. Murid saya juga telah menjalankan aktiviti mengukur panjang objek semasa tajuk tersebut saya ajar. Mereka juga tahu menukarkan unit mm kepada cm dan cm kepada m kerana kemahiran tersebut telah saya ajar sebelum ini dan mereka juga telah biasa diberi latihan dan ujian penukaran unit.
Membuat gambaran awal tentang perkataan ” Perimeter ”
Sebagai permulaan untuk meransang pemikiran murid terhadap pemahaman terhadap konsep perimeter saya telah mengedarkan kertas kosong kepada mereka dan menyuruh mereka menulis dan melukiskan apa yang mereka faham tentang perimeter berdasarkan pengalaman mereka sendiri. Setelah arahan diberikan ramai diantara murid tidak faham apa yang hendak dibuat dan ramai yang bertanya apa yang perlu dilakukan. Setelah saya mengulangi arahan tersebut sebanyak 2 hingga 3 kali disamping memberikan sedikit gambaran dan contoh barulah mereka mula melakukannya.
Daripada pemerhatian saya terhadap aktiviti yang sedang mereka lakukan, saya dapati mereka membuat berbagai andaian terhadap perkataan perimeter itu sendiri. Ada yang melukis bulatan, ada yang melukis segiempat tepat, ada yang melukis kereta yang berbentuk empat segi dan ada yang menuliskan maksud pertimeter tersebut dari perspektif yang pelbagai.
Setelah saya mengumpulkan semua kertas yang diberi dan menyemak hasil kerja setiap murid, saya mendapati 5 hingga 8 orang murid menggambarkan perimeter itu satu bentuk segiempat yang dikelilingi satu tanda di bahagian tepinya. Tedapat juga 2 hingga 4 orang murid yang menggambarkan perimeter itu sebagai panjang garisan atas dan bawah objek yang berbentuk segiempat. Dari 30 orang murid di dalam kelas tersebut terdapat 5 orang murid yang dapat menyatakan konsep perimeter yang hampir tepat di mana mereka menyatakan perimeter itu sebagai jumlah ukuran.
Saya telah menjalankan sesi perbualan terhadap 2 orang murid yang saya pilih secara rawak dari kumpulan murid di dalam kelas itu dan bertanyakan beberapa soalan kepada mereka mengenai apa yang telah mereka buat di dalam kertas yang diedarkan. Berikut adalah hasil daripada temubual yang telah saya jalankan :-
i) Murid 1 (Mohd Haziq bin Abd Ghani ) – murid ini menggambarkan perimeter dengan melukiskan sebuah bentuk segiempat tepat dan melukiskan satu tanda di setiap sisi bentuk yang dilukis. Dari perbualan dengan murid tersebut dia menyatakan bahawa apa yang dia faham tentang perimeter adalah jumlah sisi bentuk tersebut. Dia menyatakan perimeter segiempat tepat itu adalah 4 berdasarkan bilangan sisi yang ada pada bentuk tersebut.
ii) Murid 2 ( Irdeana Anatasia ) – murid ini menyatakan perimeter sebagai jumlah ukuran panjang objek. Dia menyatakan demikian kerana menurutnya perkataan ’meter’ itu sendiri bermaksud satu unit yang digunakan dalam ukuran panjang dan dengan yakin dia menyatakan perimeter itu bermaksud jumlah ukuran panjang sesuatu objek.
iii) Murid 3 ( Mohd bin Syafiq Abdul Rahman) - murid ini menyatakan perimeter sebagai ukuran sisi sebuah bulatan. Dia telah melukiskan satu bulatan besar di atas kertas yang diberi untuk menunjukkan kefahamannya.
Dari hasil aktiviti yang dibuat oleh murid tersebut saya merumuskan bahawa mereka telah mendapat beberapa idea untuk memahami konsep perimeter tersebut dan dari pemerhatian serta perbualan yang dijalankan didapati idea untuk memahami konsep tersebut sudah ada di dalam fikiran mereka tetapi masih lagi samar dan mereka perlu dibimbing dengan aktiviti lain yang dapat membantu mereka mencapai kefahaman terhad konsep perimeter itu sendiri. Saya telah merancang satu lagi aktiviti yang bersesuaian iaitu melukis bentuk segiempat tepat, segiempat sama dan segitiga di atas kertas petak dan menyuruh murid menjalankan aktiviti tersebut secara individu.
Aktiviti melukis bentuk segiempat tepat, segiempat sama dan segitiga atas kertas petak ( square paper )
Daripada pengalaman saya mengajar matapelajaran matematik saya dapati murid Tahun 4 telah mempunyai pengetahuan mengenai bentuk objek. Mereka tahu bagaima rupa bentuk segiempat sama, segiempat tepat dan seitiga dan dapat menyatakan cirri-ciri objek tersebut dengan jelas seperti bahagian sisi dan bahagian sudut. Melihat kepada pengetahuan murid tentang bentuk tersebut, saya telah menjalankan satu lagi aktiviti iaitu melukis bentuk segiempat sama ( square ), segiempat tepat ( rectangle ) dan segitiga (triangle ) di atas kertas petak ( square paper ).
Saya telah mengedarkan kertas petak (square paper ) kepada semua murid beserta dengan satu lembaran kerja yang perlu mereka isi untuk menyatakan hasil aktiviti yang telah mereka lakukan. Semasa menjalankan aktiviti ini saya memberikan kebebasan kepada murid untuk melukiskan bentuk tersebut mengikut saiz yang mereka suka. Dari pemerhatian yang saya buat hampir keseluruhan murid di kelas itu dapat melukiskan tiga bentuk tersebut dengan betul. Saya menyuruh murid mengira berapa bilangan petak yang ada pada setiap sisi bentuk yang mereka lukis dan rekodkan di dalam jadual pada lembaran kerja yang diberi.
BENTUK | SISI 1 | SISI 2 | SISI 3 | SISI 4 | JUMLAH |
Seiempat sama ( square) |
|
|
|
|
|
Segiempat tepat ( rectangle) |
|
|
|
|
|
Segitiga (triangle) |
|
|
|
|
|
Dari pemerhatian saya terhadap murid tersebut, ada yang masih lagi keliru tentang bahagian sisi yang perlu dikira. Terdapat murid yang mengira bilangan kotak pada setiap tepi bahagian bentuk yang mereka lukis. Apabila dilihat daripada keseluruhan kelas sebahagian besar daripada mereka dapat mengira bilangan sisi bentuk yang mereka lukis dengan betul dan dapat menjumlahkan semua sisi bentuk dengan tepat.
Dari aktiviti yang dijalankan saya bertanya kepada semua murid adakah terdapat perbezaan pada bilangan sisi yang mereka perolehi dari setiap bentuk yang mereka lukis. Mereka menyatakan terdapat perbezaan ketara antara bilangan sisi segiempat tepat dan segiempat sama dan segitiga di mana bilangan sisi segiempat tepat adalah lebih besar dari bilangan sisi segiempat sama dan segitiga. Lima orang daripada kumpulan murid tersebut telah bertanya kepada saya adakah jumlah bilangan petak bentuk yang dilukis menunjukkan jumlah ukuran keliling bentuk tersebut dan adakah jumlah petak dikeliling bentuk yang dilukis itu merupakan apa yang di panggil perimeter.
Apabila saya dapati ada antara murid telah bertanya soalan yang sedemikian saya mengandaikan mereka telah memahami apa yang dikatakan perimeter dan menyatakan kepada mereka jumlah ukuran petak di sekeliling bentuk yang mereka lukis itu merupakan perimeter bagi bentuk tersebut. Untuk meneruskan lagi kefahaman mereka terhadap konsep perimeter bagi bentuk segiempat sama, segiempat tepat dan segitiga, saya telah memberikan satu soalan kepada mereka untuk diselesaikan seperti di bawah:-
“ Jika ukuran satu sisi petak pada bentuk yang kamu lukis tersebut mewakili 1 cm, tuliskan perimeter bagi tiga bentuk yang kamu lukis. “
Saya menyuruh murid merekodkan dalam jadual ukuran setiap sisi dalam unit sentimeter dengan mewakili 1 cm bagi setiap petak dan minta murid dapatkan perimeter bentuk yang mereka lukis di atas kertas petak tersebut.
BENTUK | SISI 1 (CM) | SISI 2 ( CM ) | SISI 3 (CM) | SISI 4 (CM) | PERIMETER (CM) |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Daripada pemerhatian yang saya buat kebanyakan murid dapat merekodkan perimeter bentuk yang mereka lukis di atas kertas petak (square paper ) berdasarkan jumlah bilangan sisi yang mereka perolehi.
Rumusan
Dari hasil kajian yang telah dijalankan saya mendapati pemahaman konsep matematik lebih mudah di terapkan kepada murid jika mereka sendiri yang melakukkan aktiviti untuk membina kefahaman mereka sendiri. Menurut (Mohamad Daud Hamzah, 1990) setiap murid mempunyai skema pengetahuan mereka sendiri. Mereka menghimpunkan pelbgai maklumat dalam ingatan mereka. Apabila mereka mentakul sesuatu kejadian, mereka akan mengaktifkan sesuatu konsep. Konsep yang diaktifkan ini akan mengaktifkan konsep lain yang berkaitan melalui proses rebakan gegaran. Mengikut Jean Piaget, kanak-kanak yang berumur antara 7 hingga 10 tahun,perkembangan kognitif mereka masih pada peringkat operasi konkrit dan semi konkrit. Untuk menerapkan konsep matematik dengan berkesan aktiviti yang melibatkan penggunaan deria motor seperti melukis gambarajah sangat sesuai dalam membantu mereka memahami sesuatu konsep matematik tersebut dengan jelas.
Rujukan
Noor Shah Saad(2001). Teori Perkaedahan Pendidikan Matematik.Prentice Hall, Petaling Jaya Selangor.
Wan Yusof,Lee Gik Lean, Rabiyah ( 2006).Mathematics Textbook Year 4.Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Mohamad Khairuddi, Marzita Puteh, Santhi Periasamy (2006 ). Mathematics Textbook Year 5. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur
Santhi Periasamy, Marzita Puteh,Mohd Khairuddi Yahya,Lai Kim Leong, Rozali Mohd Ali(2007). Mathematics Year 6 Teacher’s Guidebook. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Mok Soon Sang(1996) , Pengajian Matematik Untuk Diploma Perguruan. Kumpulan Budiman Sdn Bhd, Kuala Lumpur.
Prof . Dr.Ansary Ahmad & Prof. Madya T.K Mukherjee ( 2004). Methodology In Teaching Mathematics. Open Universiti Malaysia.
No comments:
Post a Comment